Monday 21 October 2013

Langkah Pertama

TIADA YANG KEKAL
 

Seringkali apabila kita ditimpa sesuatu musibah atau ujian, kita kerap bertanyakan kenapa kita? Kenapa kita harus diberi ujian dan dugaan sebegini. Kenapa tidak orang yang lebih pandai, lebih kaya dan segala gala yang lebih tidak diuji sebagaimana kita diuji. Kita merasakan ketidakadilan menyelubungi kita kerana ujian dan dugaan ini.

Nanti dahulu, sebelum kita membuat kesimpulan secara terus kita seharusnya bertanyakan kepada minda dan hati kita adakah benar mereka yang bahagia itu tidak diuji? Tidak pernah merasa kesusahan kerana yang kita lihat hanyalah kesenangan? Atau mungkin mereka sebenarnya telah atau sedang mengalami ujian yang lebih hebat dari apa yang kita alami.

Tuhan tidak menguji hambaNya yang tidak mampu dan tidak layak untuk sesuatu ujian atau dugaan. Kita mempunyai kelayakan, merit dan kerana itulah kita diuji. Persoalannya sejauh mana persiapan dan kemampuan kita dari segi mental dan fizikal untuk meghadapi ujian dan cabaran yang diberikan.


Berbalik kepada tajuk asal, anda pasti tertanya tanya apakah sinergi dengan dugaan, ujian dan cabaran dalam hidup kita seharian?
Ujian, dugaan, kejayaan dan kegembiraan adalah perkara sinonim berkait langsung kerana ianya bersifat sementara. Ianya memerlukan usaha dan kesabaran. Dan jika kita beroleh dugaan atau ujian yang berat hadapilah ia dengan berlapang dada kerana tidak kekal manakala jika kita diuji dengan kesenangan dan kegembiraan ingatlah bahawa tidak selamanya senang dan bahagia. Nikmatilah ia dengan penuh kesyukuran dan rasa rendah hati.

Sebanyak mana pun harta, kegembiraan dan kebahagian ia bukanlah milik kita yang mutlak . Jika kita gembira kerana ibubapa kita masih ada, suatu hari nanti mereka pasti akan pergi, jika kita gembira kerana harta dan wang melimpah ruah yang kita ada, ia pasti surut jua. Andainya anda merasakan harta anda tidak surut malah akan berlipat kali ganda, tanamkan diminda anda bahawa harta terulung yang anda kecapi sekarang ini, iaitu nyawa kita tidak kekal dan kita akan kembali jua kepada Pencipta bila sampai masanya. Nyawa tidak terkira dan terbanding dengan kiraan harta dan kekayaan.

Disini bukanlah saya bermaksud tiada gunanya mencari harta kerana akhirnya kita akan meninggalkan harta tersebut, tetapi sebagai peringatan dan supaya kita tidak alpa dengan apa yang kita kecapi tidak kira kesenangan atau kesusahan.

Kegembiraan terletak pada individu dengan cara bagaimana kita ingin mengecapi kegembiraan dan kebahagiaan tersebut. Mungkin kegembiraan kita terletak pada masa beribadah, bersama keluarga, mungkin ada yang menilai kegembiraan dari sudut keperluan dan kehendak material.  Atau barangkali kegembiraan kita terletak pada kesederhanaan. 

Secara idealnya, tidak mungkin kita boleh mengecapi  kebahagiaan tersebut tanpa mengorbankan salah satu dari keutamaan keutamaan tersebut. Jika kita tidak beroleh kegembiraan dan kebahagiaan yang kita inginkan, janganlah kita bersedih dengan kegagalan tersebut. Sentiasa sematkan di minda bahawa jika kita berusaha, masanya akan tiba jua. Segalanya tidak kekal melainkan Dia dan atas kehendakNya.
 
Jika anda merasakan ujian yang anda hadapi ini berat, lihatlah sekeliling anda. Lihatlah pada contoh yang terdekat dengan anda, sahabat handai dan keluarga anda. Lihatlah pada mereka yang anda tahu telah diuji dengan ujian ujian yang getir dan melalui dugaan tersebut dengan jayanya.  Dengarkan kisah mereka dan pastinya ada suatu persamaan dari kisah kisah tersebut.




















UJIAN




Saya kira anda juga tertanya tanya apakah ujian yang saya rasakan sukar untuk saya hadapi. Untuk pengetahuan anda, saya dikurniakan dengan 2 orang cahaya mata (Muhammad Al Fatah dan Ana Zuleyka) dan anak saya sulung telah didiagnosis kombinasi autistik/hiperaktif kira kira dua setengah tahun yang lepas (2010) . Setiap kali menghadiri sesi temujanji bersama doktor yang melakukan diagnosis, isteri saya sentiasa mengalirkan air mata. Mungkin beliau terfikir kenapa ujian sedemikian diberikan pada kami.






Muhammad Al Fatah dilahirkan pada 3 Jun 2008 di Kota Bharu, Kelantan.  Dua minggu sebelum itu, saya telah menghantar isteri saya pulang ke kampung bagi persediaan menyambut kelahiran anak sulung kami. Saya telah berazam untuk berhenti merokok, dan pada hari saya bertolak ke lapangan terbang iaitu sehari sebelum Fatah lahir, saya telah membuang rokok terakhir saya ke dalam tong sampah. Ya, sehingga hari ini saya tidak lagi merokok. Besarnya kesan kelahiran anak sulung saya ini. Saya mahu sentiasa sihat supaya dapat melihat dia membesar, belajar dan bermain.



Di awal kelahiran, Fatah kelihatan sangat normal dan dia juga memberikan respons  terhadap ransangan. Bahkan dia tidak mempunyai banyak karenah dan menjaganya juga sangat senang. Oleh kerana Fatah merupakan cucu sulung dalam keluarga saya maka segala keperluannya diberikan keutamaan. Dia adalah penantian ibu dan bapa saya untuk bergelar sebagai seorang datuk dan nenek. Ayah saya mengubahsuai rumah kami yang kecil di kampung supaya sedikit luas dan memasang penghawa dingin bagi memastikan Fatah tidak kepanasan dan mengalami ruam.




Oleh kerana pada waktu itu isteri saya bekerja secara kontrak dan gaji dikira berdasarkan hari berkerja, isteri saya hanya sempat berpantang selama 30 hari sebelum kembali bekerja. Doktor yang merawat dan menyambut kelahiran Fatah, menasihatkan agar isteri saya menjarakkan kehamilan kerana isteri saya menghidap diabetes semasa mengandungkan Fatah. Untuk megelakkan penyakit ini menjadi kekal di awal usia, doktor menasihatkan agar kehamilan dijarakkan.

Saya juga berkerja secara kontrak tetapi saya lebih bernasib baik kerana saya diberikan cuti tahunan. Menjalani hidup di Kuala Lumpur dan jauh dari saudara mara agak mencabar, apatah lagi sudah berkeluarga dan mempunyai cahaya mata. Berdasarkan status kami yang kedua duanya bekerja, masa yang dapat diperuntukkan untuk keluarga sangat terhad.

Saya bertugas di Subang manakala isteri bertugas di Kuala Lumpur, jadi kami bergerak dari rumah awal pagi dan kembali setelah hari gelap. Begitulah rutin kami setiap hari. Saya percaya bahawa sebagai seorang yang lahir dikalangan orang biasa dan bukannya orang berada, kita tidak mungkin memperoleh kemewahan masa dan kewangan sekali gus.  Jika kita mahukan hidup yang selesa untuk keluarga, maka kita harus bekerja dan mengorbankan masa dengan keluarga, begitu jugalah sebaliknya. Ini dibuktikan oleh ibu bapa saya yang bekerja siang dan malam untuk memastikan kami adik beradik mendapat kemudahan seperti orang lain.



Ibu saya asalnya merupakan seorang pengusaha kantin dan kemudiannya menjadi pengusaha katering. Jadi kami adik beradik sangat memahami tugas ibu walaupun ibu terpaksa berkerja pada hari raya dan kurang meluangkan masa untuk kami. Dengan wang itu ibubapa saya boleh menampung hidup dan menghantar kami adik beradik ke sekolah. Sebab itu saya katakan kita hanya mampu memiliki salah satu dari dua kepentingan, iaitu masa mencari wang atau masa untuk bersama keluarga.  Disaat kita menentukan pilihan tersebut, itulah kegembiraan kita.  Jika kita memahami konsep ini dan menyemaikan kefahaman yang mudah ini pada anak anak kita, saya percaya mereka akan lebih memahami kenapa dan mengapa tidak semua tuntutan mereka dapat dipenuhi.

Oleh sebab itu jugalah saya dan isteri bekerja, kerana ingin memastikan Fatah mendapat segala kemudahan dan kesenangan. Sebagai ibubapa yang masih muda, kami sebenarnya cuba untuk memberikan kemudahan material sebaik mungkin. Kami pengupah pembantu untuk menguruskan Fatah semasa dia masih bayi. Mencari dan mengupah pembantu rumah sebenarnya sangat sukar, terutamanya untuk menjaga anak kecil. Tetapi kami bernasib baik kerana pembantu rumah kami yang pertama bernama Seri sangat rapat dengan Fatah, selalu Fatah minta dikendong walaupun Fatah agak besar untuk bayi yang seusia dengannya.



Jika kami pulang ke kampung, Fatah akan duduk dibelakang. Walaupun perjalanan jauh, Fatah tiada karenah dan menguruskan dia sangat senang. Kereta pertama kami agak uzur dan penghawa dingin tidak begitu berfungsi dengan baik, namun Fatah tiada perangai. Kami sangat bersyukur.

  
Fatah membesar dengan normal, perkembangan mental  dan fizikal juga normal. Dia juga menerima imunisasi seperti kanak kanak lain. Fatah mula bercakap ketika berumur 12 bulan. Antara perkataan terawal yang disebut adalah nak, sedap, ayam, flower, butterfly dan abah. Pernah suatu masa ketika kami dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur, Fatah menangis semasa melalui bandar Kuala Terengganu. Dia duduk di atas kerusi bayi yang diletakkan di sebelah kerusi pemandu. Oleh kerana terganggu dengan tangisan, saya menanyakan Fatah kenapa dia menangis lantas dia menjawab sambil menangis “Shedap”, saya terharu dan berasa bersalah kerana tidak memgambilkira keperluan dia di sebelah saya. Lantas saya memberhentikan kereta di stesen minyak  dan mencari makanan untuk dia. Saya masih lagi mengingati dengan jelas lokasi stesen minyak Esso itu seolah olah ia baru sahaja berlaku semalam. Saya kira itu adalah salah satu komunikasi yang efektif antara saya dan Fatah memandangkan ianya terkesan sehingga ke hari ini.

Adalah sangat penting bagi ibubapa kepada golongan autistik untuk terus berkomunikasi dengan anak anak mereka walaupun ianya kelihatan komunikasi satu arah dan janggal. In kerana sebahagian besar daripada mereka sebenarnya memahami apa yang kita tuturkan, cuma masalah pertuturan membataskan komunikasi yang efektif. Jika diperhatikan, mereka seolah olah ingin memperkatakan sesuatu tetapi tidak dapat diintonasikan melalui perbualan. Teruskan seolah olah anda memahami mereka. Akhir akhir ini kami selalu berbual dengan Fatah dan menganggap dia normal dan memahami apa kami sampaikan. Begitu juga dengan apa yang dia tuturkan, kami akan sedaya upaya cuba memahami apa yang Fatah tuturkan dan apa kehendaknya.  Cuma kami tidak begitu meletakkan harapan agar dia mendengar arahan kami. Jangan berputus asa, kerana akhirnya sesuatu yang baik akan memberikan penghasilan jua.



Ketika Fatah berumur 13 bulan dia mula belajar berjalan dan dalam masa itu saya telah melakukan satu kesilapan yang sehingga kini saya masih tidak dapat maafkan. Saya telah memaksa Fatah untuk belajar berjalan dan duduk tanpa bantuan. Saya telah membiarkan dia berdiri selama hampir 40 minit sehingga dia dapat belajar untuk duduk dengan sendiri.  Sehingga hari ini saya masih lagi berasa kesal dengan perbuatan tersebut.

Oleh kerana pada awal usia perkahwinan kami tidak sempat merancang, isteri saya sekali lagi telah hamil ketika usia Fatah lima bulan. Kami sebenarnya tidak bersedia memandangkan usia Fatah yang belum pun mencecah satu tahun. Isteri saya berasa agak tertekan memikirkan jarak kelahiran yang sangat rapat. Ditambah pula dengan nasihat awal dari doktor, isteri saya semakin berat hati. Saya memberitahu isteri supaya positif dan semuanya ini pasti ada hikmahnya.  Kita tidak perlu menyalahkan diri atau berasa kesal.
Jarak kehamilan yang rapat membolehkan kami mengguna pakai semula semua persiapan semasa kelahiran terdahulu. Dari sudut kos persiapan, kami sebenarnya tidak mengeluarkan banyak belanja kecuali untuk pemeriksaan rutin bulanan. Seperti yang saya katakana diawal tadi, segala berkait samada kita mahu bersedia atau sebaliknya terletak pada kemahuan kita.

Sungguhpun begitu, hati isteri saya teruja apabila diberitakan anak kedua kami adalah perempuan.  Memandangkan isteri saya telah diserapkan ke posisi tetap dan bukan lagi kontrak, maka pendapatan kami juga menurun.  Ini walau bagaimanapun diimbangi dengan pertukaran kerja saya. Saya telah ditawarkan untuk bekerja di Kuala Lumpur juga dengan posisi tetap. Masa dan kos perjalanan ke tempat kerja  dapat dijimatkan. Rezeki anak kedua kami.



Semasa pemeriksaan rutin pada bulan ke lapan, doktor yang memeriksa isteri saya, terkejut kerana jalan peranakan isteri saya sudah terbuka sebanyak 5 sentimeter. Kami tidak menyangka anak kedua kami rupanya sudah bersedia untuk keluar. Dalam kekalutan itu saya telah menanyakan soalan bodoh; adakah sempat untuk saya pulang ke kampung. Boleh jika saya mahu isteri saya melahirkan anak saya di tepi jalan. Kami pulang ke rumah untuk mengambil barang barang isteri dan anak saya. Fatah terpaksa diletakkan dibawah jagaan pembantu rumah sepanjang kami di hospital. Sekembalinya dari rumah, jalan peranakan sudah pun terbuka sebanyak tujuh sentimeter dan isteri saya terus dimasukkan ke bilik bersalin.

Ana Zuleyka, anak kedua kami lahir pada bulan Ramadan 25 Ogos 2009 jam 5 petang di Hospital Tawakkal. Di sebelah lewat malam keluarga kami dari Kelantan tiba dan keesokkan harinya keluarga saya ke rumah untuk menjemput Fatah. Setibanya di wad, Fatah terus meluru ke arah ibunya memeluk erat sambil menangis. Kami terharu.  Fatah diperkenalkan kepada adiknya Ana Zuleyka, kami mengajarkan dia perkataan “adik”. Ibu saya paling terharu, mungkin kerana kasihankan Fatah. Kasih sayang kami tetap sama dan tiada yang berubah di sini.
 
Dengan kombinasi hiperaktif, Fatah sangat sukar untuk tidur normal seperti anak anak lain. Waktu tidur sangat lewat sehingga kadang kala dia tidur hanya selepas pada waktu subuh! Komunikasi juga sukar kerana masalah pertuturan. Fatah hilang kebolehan bertutur ketika memasuki umur 2 tahun. Dia hanya menggunakan isyarat tangan jika inginkan sesuatu. Setelah dinasihatkan oleh doktor dan ahli keluarga, kami dengan berat hati mendaftar Fatah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dia dikategorikan dibawah masalah pembelajaran.

Secara jujurnya kami sangat sedih kerana memikirkan masa depan, kebergantungan dan kemandirian Fatah. Tetapi keluarga dan sahabat memberikan sokongan moral yang kuat kepada kami supaya kami tabah menghadapi ujian ini. Sokongan yang kuat dari masyarakat dan keluarga sangat penting kerana mereka juga akan berpeluang untuk belajar menerima dan memahami  golongan seperti ini. Secara tidak langsung mereka merasakan mereka diterima dalam masyarakat.



 



 





No comments:

Post a Comment